Thursday, December 31, 2009

SABAR SANGAT PERLU

Assalamuallaikum wr.wbt.

Alhamdulillah akhirnya aku dan keluarga dapat juga menunaikan umrah bersama walaupun terlalu banyak cabaran yang terpaksa dilalui peringkat awal.Walaupun aku membawa semua ke airport pada tarikh 15 Dis namun hati masih terus berkata-kata dan tetap berdoa agar masalah visa dua puteriku dapat diselesaikan.Sebaik saja sampai di airport aku terus mencari wakil Andalusia yang kebetulan baru sampai untuk menjalankan proses check in.Lega apabila diberitahu berita positif perkara yang menjadi masalah dapat diselesaikan dan pasport dalam proses untuk disahkan oleh pihak kedutaan dan bila pukul 12 aku bertemu sekali lagi untuk pengesahan dan lebih lega apabila wakil agen menyatakan dalam perjalanan ke airport.

Alhamdulillah apabila masuk ke perut kapalterbang baru aku yakin bahawa niat kami untuk mengerjakan umrah akan tercapai.Perjalanan selama lapan jam aku rasa terlalu lama terpaksa singgah di Riyadh.Sampai Jeddah terpaksa pula menghadapi kerenah imigresyen orang Arab yang sengaja melengahkan pemperosesan pasport. Lama juga kami terpaksa berbaris,pr oses nya ketat tetapi daya kerjanya terlalu lambat,hanya kesabaran saja yang menyejukkan hati.Aku dapat rasakan selepas itu banyak lagi perkara-perkara yang aku hadapi yang memerlukan aku dan keluarga kena banyak bersabar.Habis imegresyen mencari tempat bersolat selepas itu mencari bas untuk ke TAIF salah satu tempat untuk diziarahi.Terpaksa pula menunggu agak lama dalam bas ,aku difahamkan kerana masalah jemaah umrah yang bersama kami ada yang tidak mempunyai muhrim.Hampir 2 pagi baru disampai di Hotel Bahadur,walaupun hotel 5 bintang hanya dapat tidur beberapa jam sahaja kerana selepas subuh kami terpaksa menaiki bas semula untuk menziarahi bandar Taif dan masuk keKota Mekah,yang jelas perlu banyak bersabar.

Wednesday, December 30, 2009

SEKADAR PERMULAAN

Assalamuallaikum wr.wbt.

Alhamdulillah dapat bertemu lagi hampir dua minggu tidak menulis agak kaku dan beku juga idea dibuatnya.Hari ini dalam mesyuarat bersama guru-guru hampir tidak ada idea yang hendak disampaikan cuma ucapan tahniah kepada guru-guru kerana telah sama-sama berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan Ulu Bernam keputusan PMR naik 7.75 peratus daripada tahun 2008 dan ada seorang mencapai semua A.Jelas terbukti bahawa apa yang saya katakan sebenarnya budak diulu pun ada potensi jika ada usaha untuk meningkatkan motivasi dan semangat mereka hampir dua orang yang mencapai semua A .Cuma Bahasa Inggeris pula jadi penghalang,kalau tidak tentu meletup punya.Oleh itu saya menyatakan kepada guru-guru bahawa tidak ada lagi alasan bahawa pelajar lemah,tiada potensi,dah mental blocked untuk gagal.

Esok mesyuarat disambung lagi perlu diselesaikan sebelum buka persekolahan,badan pun masih cerin-cerin akibat perubahan cuaca yang agak sejuk di Taif,panas di Mekah sejuk di Madain Saleh dan Sejuk di Madinah kemudian agak panas di Malaysia.Belum lagi perubahan masa tidur yang berbeza dengan Malaysia.InsyaALLAH akan diceritakan pengalaman sepanjang mengerjakan umrah.Cuma yang pasti keinginan untuk pergi lagi sudah terpahat alam hati.

Monday, December 14, 2009

DUGAAAN

Assalamuallaikum wr.wbt.

Hari ini dari pagi fikiran tak tentu hala sebab dapat perkhabaran visa anak dara aku dua orang ada masalah ,sehingga menyebabkan mereka tidak dapat mengerjakan umrah bersama keluarga esok libang libu dibuatnya.Balik awal dari sekolah terus ambil isteri dan balik rumah terus buat solat hajat .Dalam perjalanan balik jangan ceritalah sepanjang jalan bertalbiah ,dengan harapan dapat jadi tetamu ALLAH.Banyak pula cabaran dan dugaan yang kami tempuhi.Namun seperti dahulu aku yakin dengan power of doa and the miracle of doa.Sembahyang Asar dimasjid terus berdoa namun runtunan hati yang emosional membuatkan aku tak dapat menahan air mata mengalir apabila aku mendapat khabar dari agen sekali lagi yang mengatakan bahawa harapan untuk menyelesaikan masalah visa anak aku tipis oleh itu harapan untuk aku membawa keluarga bersama hampa.Namun aku terus berharap dengan agen agar terus berusaha untuk menyelesaikan masalah itu.Anak-anak aku mulalah menangis terutama puteri sulungku.Aku minta semua keluarga terus berdoa agar masalah itu dapat diselesaikan.Maghrib aku masih terus berdoa agar perkara itu dapat diselesaikan,terus berzikir dan membaca AlQuran .Tepat jam 8.15 aku mendapat berita yang sangat mengembirakan untuk kami sekeluarga masalah itu dapat diselesaikan pagi esok .Tak dapat digambarkan betapa gembiranya kami terus buat sujud syukur ALHAMDULILLAH terima kasih kepada semua yang mendoakan kami.Doakan kami dapat umrah yang maqbul.Dua minggu terpaksa meninggalkan blog ini.

Saturday, December 12, 2009

ILMU PERLU DALAM DUNIA PERNIAGAAN

ASSALAMUALLAIKUM WR.WBT.

Semalam menghadiri anugerah kecemerlangan SKOMK ,jadi sebagai ahli dan ada anak yang mendapat anugerah duduklah sekejap untuk mendengar beberapa ucapan dari orang kuat SKOMK yang kebanyakannya terdiri daripada bekas-bekas guru pencen yang masih lagi ingin meneruskan tugas dan tanggungjawab bagi mengisi masa pencen mereka yang sudah tentu banyak masa luang dan senggang.

Diantaranya tentang perkembangan perniagaan SKOMK dulu,kini dan masa akan datang.Apa yang saya dapat simpulkan bahawa perkembangan perniagaan mereka perlu lebih kompetitif dengan perkembangan semasa.Satu sebab yang saya nampak pekerjanya lebih kepada sekadar makan gaji dan sudah terlalu lama berada dalam SKOMK mungkin motivasi mereka agak kurang untuk bersaing dengan dunia perniagaan yang berada disekeliling mereka yang sentiasa berkembang dan perlukan perubahan dari segi cara berniaga dan pemasaran.

Ahli lembaga pengarah perlu lebih profesional dalam menerajui SKOMK dan sentiasa mengambil peluang serta berilmu dalam dunia perniagaan,jika tidak sudah tentu SKOMK dan berada ditakuk lama dividen tahunan berkurangan akibat dari keuntungan yang berkurangan lebih-lebih lagi terlalu banyak orang pencen yang berada didalam,sudah tentu gaya dan cara bekerja seperti orang pencen yang ruang lingkupnya semakin kecil dan tidak bersifat global.

Thursday, December 10, 2009

SEKOLAH PERKASA

Assalamuallaikum wr.wbt.

Selepas memberi taklimat sikit dengan PT baru tadi saya membuat rondaan sedikit dsekitar sekolah ,hendak memastikan agar persiapan tahun 2010 berjalan dengan baik dan lancar,yang tidak menyenangkan mata memandang terpaksa ditegur.Semalam dalam taklimat bayaran tambahan PPD ada mengingatkan sekali lagi tentang persiapan menghadapi perjalanan sekolah 2010 .Sekolah dalam keadaan ceria dan kelas dalam keadaan kondusif.Seorang pelajar mesti ada satu meja dan satu kerusi dan buku teks mesti ada diatas meja pelajar mulai hari pertama.Semua ini saya telah memberi taklimat kepada G9 dan guru SPBT.Padang pula mesti bersih dan rumput hanya lebih kurang 30mm sahaja apabila diukur.

Selepas itu saya terbaca satu artikel tentang bagaimana membina sekolah yang beraspirasi nasional.

Ada sembilan ciri yang perlu dipenuhi untuk menjadikan sekolah itu dianggap perkasa.

1.Mempunyai pencapaian akdemik yang cemerlang

2.Pemimpin dan guru yang cekap terlatih dan berkualiti

3.Infrasturuktur yang lengkap dan berkualiti

4.Penawaran kurikulum yang berasaskan pelanggan

5.Penawaran dan perlaksanaan kokurikulum yang berkesan

6.Pencapaian sahsiah pelajar yang cemerlang

7.iklim dan budaya sekolah yang sihat dan kondusif

8.Sistem sokongan yang kukuh dan mencukupi

9.Beraspirasi nasional

Oleh itu 9 ciri ini perlu ada untuk menjadikan sesebuah sekolah dianggap perkasa dan boleh dirankingkan ditempat yang teratas dan dimasukkan dalam Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Wednesday, December 9, 2009

YOU ARE WHAT YOU EAT

Assalamuallaikum wr.wbt.

Semalam badan tidak berapa sihat,terpaksa balik awal dari sekolah,sempat juga berjoging mungkin masalah pemakanan,kena berhati-hati sangat dalam soal makan ini,sudah banyak artikel yang dibaca tentang penjagaan makanan yang perlu lebih-lebih lagi apabila usia meningkat.Tak banyak dapat ditulis pada hari ini. teringat satu artikel yang tepat membuat tafsiran tentang masalah pemakanan dan kesihatan " You Are What you eat".

Tuesday, December 8, 2009

KEUTAMAAN BELAJAR

Assallmuallaikum wr.wbt.

Habis dari pagi sampai tengahari mesyuarat pertukaran Tingkatan Satu secara berkelompok bagi sekolah-sekolah Hilir Perak tahun 2010.Kadangkala memang memeningkan kepala terutama sekolah-sekolah yang menjadi tumpuan ibu bapa ada yang sampai mengunakan saluran ahli politik untuk mendapatkan tempat disekolah yang diminati.Jadi pertukaran ,permohonan dan rayuan perlu dibuat dengan berhemah dan mengikut prosedur serta tidak ada pilih kasih .Cuma aku senang hati sebab sekolah di ULU tidak ada yang masuk dan keluar jadi sekadar mendengar dan mengemukakan laporan sekolah.Semua ibu bapa hendakkan sekolah yang terbaik untuk anak mereka .Walaupun kadangkala mereka tidak tahu anak mereka tidak begitu baik jika diukur dari segi keputusan peperiksaan awam.

Namun bagi yang beragama Islam meneruskan pengajian anak-anak untuk menuntut ilmu adalah wajib lebih-lebih lagi ilmu yang berkaitan agama Islam.Banyak Hadis dan ayat AlQuran berkaitan tentang kewajipan menuntut ilmu.

Rasululllah bersabda

"Mencari ilmu adalah wajib keatas tiap-"tiap muslim"

Abu Darda' berkata "jika saya belajar sesuatu masalah,maka hal itu adalah lebih saya sukai daripada solat malam"

Imam Syafie berkata "mencari ilmu itu lebih utama daripada mengerjakan Amalan sunat"

Fatah AlMaushili rahimullah berkata "Bukankah seseorang yang sakit itu apabila tidak makan dan minum dan tidak mengambil ubat akhirnya akan mati."Kawan-kawannya menjawab:"Ya,benar."Dia berkata lagi:"Demikian pula hati,apabila tidak menerima nikmat dan ilmu selama tiga hari,pasti ia akan mati."

Ibnu Masud r.a.berkata;Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ia dilenyapkan.Lenyapnya ilmu pengetahuan ialah matinya orang-orang yang memberikan atau yang mengajarnya.Seseorang itu tidak akan dilahirkan dalam keadaan pandai.Jadi ilmu itu pengetahuan itu mestilah dicari dengan belajar.Wallahuallam.

Monday, December 7, 2009

NIAT DAN BERKAT

Assalamuallaikum wr.wbt.

Alhamdulillah ramai rakan-rakan yang telah pulang dari mengerjakan haji,semua dalam keadaan sihat walafiat itulah yang dikehendaki.Tadi waktu Asar di masjid aku sempat berbual dengan Hj Omar dah dua kali mengerjakan haji,dah tua dan pencen hasil dari menjual kuih yang berkat rezekinya dapat dia mengerjakan haji buat kali kedua.

Mungkin selepas ini aku rasa dia dah tak jual kuih lagi sebab usianya yang sudah meningkat.Aku teringat kata-kata Hj.Sani pada malam kenduri doa selamat Cikgu Rahim yang baru pulang dari menjadi tetamu Allah."Tak kan Papa bila pergi ke Mekah"insyaALLAH akan bertambah rezeki lagi.Beliau juga dah dua kali mengerjakan haji.Umrah aku dah tak berapa ingat banyak kali sangat.

Itu pun beliau berhasrat mengerjakan haji buat kali ketiga jika badannya masih sihat.Tak berentirenti menceritakan pengalaman beliau sewaktu mengerjakan haji pada tahun lepas dan memberi semangat kepada yang belum menunaikan fardu haji supaya cepat mendaftar.Cuma yang paling penting aku rasa kalau dah ada niat dan kemahuan untuk menjadi tetamu ALLAH akan dimakbulkan.

Sunday, December 6, 2009

SOAL MEMILIH JODOH

Assalamuallaikum wr.wbt.

Hari minggu begini biasanya aku isi dengan bermain golf,tapi tidak hari ini ditangguhkan aku diminta oleh abang aku yang keempat untuk mengetuai majlis peminangan anak terunanya,jadi sebelum pergi untuk upacara tersebut aku relaks dirumah sambil membaca kitab-kitab lama yang dah tersimpan dialmari,rajin membeli dan rajin pula menyimpan.Buku "Bimbingan untuk mencapai tingkat mukminin" aku membaca dalam bab mencari jodoh iaitu perkara yang perlu diambil perhatian dalam memilih jodoh perlu ada ciri-ciri berikut iaitu:

a. Agama b. Budi pekerti c. Kecantikan d. Ringan Maskahwinnya e.Subur tidak mandul f.Gadis

g. Keturunan yang baik h. Bukan dari keluarga yang terdekat.

Jadi jelas dalam soal pemilihan jodoh bukan main-main dan boleh dibuat semborono ini diperkukuhkan lagi dengan maksud hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari,Muslim dan lain-lainnya.

"Wanita itu dikahwini kerana empat perkara sebab hartanya,keturunannya,kecantikannya dan agamanya.Hendaklah engkau mendapatkan yang kuat agamanya,nescaya selamatlah kedua tanganmu"

Berbalik kepada anak saudara yang dipinangkan tadi alhamduliilah,disebabkan bapanya sendiri yang mencarikan sudah tentu hampir menepati ciri-ciri yang disebutkan tadi.Majlis berjalan lancar,selesai cepat tidak banyak perkara yang perlu dibincangkan.InsyaALLAH tempoh setahun lagi mereka akan menaiki jinjang pelamin.

Teringat aku pula pada anak saudara yang aku jumpa semalam di Shah Alam,sehingga aku terpaksa membuat tazkirah sedikit kepada kedua-dua anak aku sewaktu makan diTanjung Karang semalam,aku harap mereka benar-benar memahami akan hasrat kami tentang kebahagiaan dan jodoh anak-anak .

Thursday, December 3, 2009

100 CIRI MODAL INSAN IDAMAN

Hari ini saya terbaca sebuah buku 100 ciri modal insan idaman terbitan Jabatan Pelajaran Perak diantaranya ialah:

1.beriman 2.sihat mental 3. sihat fizikal 4. berdisiplin 5. berilmu
6.berhemah7.bertakwa 8.pelbagai kemahiran 9.berfikir 10.beritegriti
11.berinisiatif12.berinovasi 13.berkongsi 14.pemurah 15.penyayang
16.pengasih17.kreatif18.kepimpinan berkualiti19.tekun20.tegas
21.petah bercakap.22.asertif23.tidak cepat mengalah24.tinggi jati diri25.empati
26.pemaaf27.penyabar28.tidak cepat melatah29.tenang30.berdikari31.menyenangi orang lain
32.menyenangi diri sendiri33.tidak malu bertanya34.rajin35.berusaha36.bersyukur37.mudah senyum38.bersukan39.boleh kehadapan40.boleh menyesuaikan diri41.berekreasi42.bercakap benar43.tidak menjadi duri dalam daging44.tidak melabel45.berlaku adil46.suka membaca47.mengamalkan konsep win-win 48.menerima suara ramai 49.ikhlas 50.pintar

Daripada 50 ciri modal insan idaman yang sempat saya senaraikan cubalah kita buat senarai semak diri kita adakah meliputi semua,separuh atau satu pertiga sahaja.

SEKALI AIR BAH SEKALI PASIR BERUBAH

Assalamuallaikum wr.wbt.

Hari ini satu hari berada dalam dewan MPTI mendengar taklimat perancangan pendidikan 2010.
Semua pegawai hadir dari pengarah sampai lah pegawai-pegawai PPD juga turut serta.Pengarah dalam ucap utama kepada kira-kira 500 orang pengetua dan guru besar yang hadir menerangkan persediaan menghadapi persekolahan 2010.Sama ada dari segi prasarana sekolah sehinggalah kepada core business sekolah iaitu P&P yang diwajibkan bermula pada hari pertama. Semoga tidak timbul sebarang kekecohan dan kelam kabut pada awal sesi persekolahan.
Banyak lagi perkara yang diterangkan termasuklah National Key Result Area yang melibatkan bidang pendidikan.LINUS yang menggantikan 3M disasarkan pada tahun 2012 tiadalah masalah Literasi dan Numerasi dikalangan pelajar sekolah rendah.Bolehkah mencapai sasaran?

Suatu yang menarik ialah tentang sekolah brprestasi tinggi (SBT),terlalu ideal ciri-ciri yang hendak dicapai.Namun akan diumumkan hujung bulan ini.Sekali air bah sekali pasir berubah.Berubah menteri macam-macam lah yang baru.Betul juga, idea dan perubahan sangat perlu dalam bidang pendidikan.Barulah tidak jumud.Jadi kita sebagai warga pendidik ikut sajalah tari mereka.Bagi saya yang penting tugas dan tanggung jawab untuk mendidik perlu diteruskan dengan hati yang ikhlas dan penuh akauntabiliti atau bertanggungjawab.

Wednesday, December 2, 2009

PERSEDIAAN KE TANAH SUCI

Assalammuallaikum wr.wbt.

Alhamdulillah hari ini aku mengambil cuti rehat,menghadiri kursus dan taklimat untuk menunaikan umrah bersama isteri dan kedua orang anak,mula-mula aku hairan juga kenapa Pak Haji Mohd Nor SMS anak aku tidak terus kepadaku untuk jemputan taklimat dan kursus.Barulah aku faham bahawa dia memang mengharapkan kedua anak aku hadir supaya sekurangnya mereka faham dan mengetahui situasi yang sebenar akan rukun dan syarat mengerjakan umrah agar mereka benar-benar bersedia.Betul kata tuan haji tu mereka berdua akan mengerjakan umrah wajib sebab pertama kali pergi.Aku,isteri dan puteri sulungku hanya mengerjakan umrah sunat sebab sudah pernah menjejakkkan kaki ke tanah suci.Tapi rukun dan syarat sah tetap sama.

Banyak kali beliau berpesan kepada anakku supaya membulatkan tekad dan azam supaya mereka mengerjakan umrah dari hati yang luhur dan suci bukan dipaksa dan terpaksa,dan beliau juga mengingatkan aku supaya memberi tunjuk ajar serba sedikit supaya persediaan mereka mantap tapi yang membanggakan Aizat sudah mula menunjukkan bacaan yang baik dalam doa dan sewaktu membaca AlQuran dan sudah berani menjadi imam dan Farha sudah mula tunjuk minat dan ada sedikit kerisauan untuk mengerjakan umrah kalau tidak dia buat dek aje .Jadi mulai hari ini setiap lepas maghrib aku mesti duduk bersama mereka untuk mendengar bacaan niat dan doa yang perlu dibaca dari miqat sampailah ke tahalul.

Hebat juga tuan haji ni siap dengan pertunjukkan video kalau ada LCD lagi cantik,memang beliau bersedia sebagai ejen Andalusia yang bertauliah .Sempat juga kami bershoping membeli serba sedikit barang yang hendak dipakai dan dibawa ke Tanah Suci.Cuma kain ihram yang aku cari belum ditemui yang sesuai.InsyaALLAH ada masa lagi,cuma aku harap puteri sulungku Fatihah dapat membuat rujukan sendiri dan jangan lupa baca buku yang dibekalkan takut nanti adik lebih hebat dari kakak.